1 SEPT: Dua orang terkorban dalam insiden letupan di restoran makanan segera di sebuah bangunan di Jalan Rashid Bin Saeed di Abu Dhabi, pagi semalam.
Memetik kenyataan Pejabat Media Kerajaan Abu Dhabi, seorang mangsa berada berdekatan lokasi letupan manakala seorang lagi terkena serpihan ketika melalui lokasi kejadian.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka, semoga Tuhan menenangkan jiwa mereka,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, beberapa individu dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan ringan dan sederhana.
“Berdasarkan siasatan di lokasi, kejadian itu disebabkan oleh ketidaksejajaran pada kelengkapan tabung gas selepas pengisian bahan bakar.
“Pasukan keselamatan membantu mengeluarkan orang ramai dari bangunan dan sekitar kawasan untuk memastikan keselamatan setiap orang,” katanya.
Pejabat Media Kerajaan Abu Dhabi memberitahu, pihak berkuasa turut mengarahkan pemandu supaya menjauhi jalan terbabit yang berhampiran dengan Al Wahda Mall, sementara perkhidmatan kecemasan tiba.
Media tempatan melaporkan, letupan menyebabkan kebakaran yang memusnahkan tingkat bawah bangunan.
“Kebakaran dapat dikawal dalam masa 33 minit,” lapor akhbar National milik kerajaan Abu Dhabi.
Penduduk berkata, mereka terdengar letupan yang menyebabkan serpihan bertaburan di seberang jalan di hadapan sebuah bangunan di bandar itu kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.
“Kami mendengar letupan kuat, diikuti oleh asap tebal dari lokasi di bangunan berkenaan,” kata mereka.