1 SEPT: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berbulan madu sebaliknya terus bekerja keras untuk negara sebaik sahaja diberi amanah mentadbir Malaysia sejak Mac lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini supaya kerajaan PN pimpinannya dapat terus berfungsi sebaik sahaja dibentuk sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat.
“Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baru. Tidak ada tempoh bulan madu untuk kita semua.
“Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap di majlis penutup Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, krisis getir yang menguji kebertanggugjawaban kerajaan Perikatan Nasional kepada rakyat ialah penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Tambah Muhyiddin, krisis seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia serta di seluruh dunia dan berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara telah berjaya mengharungi krisis tersebut dengan baik.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, beliau tidak boleh membiarkan krisis itu begitu sahaja dan disebabkan itu juga beliau terpanggil unutk memberikan perlindungan ekonomi kepada rakyat.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Pagoh berkata beliau telah meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya mencari kewangan untuk negara.
Katanya, beliau tidak sampai hati untuk memberitahu kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mempunyai wang ketika mereka berada dalam kesusahan.
“Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, “Ya, kita ada wang “. Saya berkata,” Baiklah, kita akan menggunakan wang itu untuk meringankan beban rakyat.
“Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion.
“Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dan mereka amat berterima kasih,” tambahnya. -Oleh HAIKA KHAZI