1 SEPT: Rakyat seharusnya memahami tujuan utama Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah untuk memastikan anak kesayangan beliau, Datuk Seri Mukhriz diangkat menjadi Perdana Menteri seterusnya.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr R Sivvaperegasam P Rajanthiran berkata, timbul persoalan sama ada Pejuang memberi ancaman kerajaan PN memandangkan sudah wujud enam parti Melayu lain di negara ini termasuk termasuk PAS, UMNO dan BERSATU.
Menurut beliau, rakyat juga wajar bertanya kepada Dr Mahathir tentang motif dan agenda sebenar Pejuang.
“Jika ia dimaksudkan untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa, persoalan yang berbangkit adalah sejauh mana kepemimpinan Tun Dr Mahathir sebelumnya ketika menerajui UMNO dan ketika menerajui BERSATU.
“Apakah pada zaman pemerintahan Tun sewaktu menerajui kerajaan UMNO selama 22 tahun dan 22 bulan di bawah PH apakah rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di bawah kerajaan PH?
“Kalau motif penubuhan Pejuang ini betul ianya untuk menghapuskan rasuah saya kira para penganalisis dan sarjana perlu renungkan kembali motif ini dengan baik. Atau ada motif lain yang terselindung di dalamnya?” katanya ketika membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sivvaperegasam menegaskan, pada pengamatannya mungkin ada motif yang lain tersembunyi disebalik penubuhan Pejuang oleh Dr Mahathir.
Beliau berpandangan, mungkin tujuan utama Dr Mahathir menubuhkan Pejuang adalah untuk memastikan anaknya Mukhriz sebagai Presiden Pejuang dan bakal Perdana Menteri seterusnya.
“Mukhriz akan akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri dan seterusnya Prsiden Pejuang yang banyak bergantung kepada pengaruh Dr Mahathir sedangkan populariti beliau telah jauh merudum,” katanya.
Sivvaperegasam berkata, rakyat Malaysia terutamanya pemimpin dan penyokong parti pembangkang juga perlu sedar bahawa kegagalan dan kejatuhan kerajaan PH adalah berpunca daripada tindak tanduk Dr Mahathir sendiri termasuk gagal menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sebahagiannya disebabkan oleh tindak tanduk beliau sendiri dan kegagalan beliau mengetuai kerajaan PH termasuk juga kegagalan beliau dan PH untuk melontar janji yang dijadikan sebahagian daripada manifesto PH.
“Kita dapati hampir semua kandungan manifesto ini tidak direalisasikan dengan baik. Dan bila ditanya dan dikritik tentang ini beliau memberitahu bahawa manifesto bukan Bible yang perlu diikuti dengan rapat,” katanya.