1 SEPT: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan 10 asas penting yang akan menjadi hala tuju kerajaan untuk tempoh masa yang akan datang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, asas pertama ialah dari segi eonomi, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA.
Muhyiddin berkata, langkah itu perlu berikutan banyak sektor ekonomi di negara ini terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti di negara lain.
Namun, Muhyiddin berkata, ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula dengan trend pemulihan berterusan dan dijangka akan mencatat pertumbuhan positif pada tahun depan.
“Kedua, kerajaan PN akan terus memberikan tumpuan kepada usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan hasil kemakmuran negara dikongsi secara adil dan saksama oleh seluruh warga negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, status sosial dan wilayah.
“Dalam konteks ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan menjadi paksi dasar dan program ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan PN.
“Ketiga, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap di majlis penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keempat, kerajaan PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha pendigitalan Malaysia menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Beliau berkata kelima, memastikan Malaysia mempunyai jaminan makanan yang mencukupi akan menjadi salah satu teras utama pentadbiran kerajaan PN.
“Untuk tujuan ini, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara telah diwujudkan untuk meneliti segala dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menambah pengeluaran makanan dalam negara;
“Keenam, kerajaan PN akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional,” katanya.
Beliau berkata usaha-usaha reformasi institusi akan dilaksanakan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang kompeten, telus dan berintegriti.
“Ketujuh, bidang pendidikan akan diberikan keutamaan demi melahirkan modal insan negara yang berkemahiran, berpengetahuan dan berbudi pekerti mulia. Untuk itu, kualiti guru, pensyarah, kurikulum dan infrastruktur pendidikan akan terus dipertingkatkan.
“Sektor pendidikan negara kita mesti bersedia untuk mendepani pelbagai cabaran baharu termasuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran secara maya.
“Kelapan, reformasi dalam sektor kesihatan juga akan menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional. Wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara kita amat menguji kualiti dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.
“Alhamdulillah, kejayaan Malaysia menangani penularan wabak COVID-19 membuktikan negara kita mempunyai sistem kesihatan yang baik. Namun, saya percaya masih banyak ruang-ruang yang boleh diperbaiki.
“Saya akan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menambahbaik sistem kesihatan di negara kita yang pastinya akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, aspek keselamatan dan ketenteraman awam akan diberikan keutamaan oleh kerajaan PN dan rakyat mesti berasa selamat untuk tinggal di negara ini.
“Usaha-usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, mengawal sempadan negara daripada diceroboh, memelihara kedaulatan wilayah, memerangi keganasan dan menangani masalah pendatang asing tanpa izin akan diberikan keutamaan oleh kerajaan.
“Kesepuluh, perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama akan terus dipupuk dan dipertahankan. Usaha ini tentunya memerlukan kesedaran, sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan PN menubuhkan sebuah kementerian khusus iaitu Kementerian Perpaduan Negara untuk melaksanakan pelbagai program dan dasar yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional. -Oleh HAIKA KHAZI