1 SEPT: PAS menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci terhadap individu serta organisasi yang terlibat dalam kes pencerobohan tanah kerajaan negeri secara haram di Raub, Pahang.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, jumlah tanah yang diceroboh itu berkeluasan kira-kira 4,400 hektar.
Beliau berharap polis dan SPRM melaksanakan siasatan dengan adil terhadap semua pihak dan diberikan hukuman setimpal jika sabit kesalahan.
“Mana-mana pihak yang dilihat cuba membela penceroboh berkenaan adalah perbuatan memalukan.
“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengisi periuk nasi sendiri dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamaruzaman menambah, PAS turut menyokong ketegasan tindakan kerajaan negeri Pahang yang melakukan operasi pemutihan tanah haram di seluruh negeri itu.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak pada 1 Ogos lalu menyatakan kerajaan negeri dianggarkan mengalami kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram melibatkan kawasan seluas 4,400 hektar di Raub.
Nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun dan kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang secara tegas ke atas pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan pencerobohan hutan bagi tujuan itu.
Langkah kerajaan negeri menetapkan denda kepada peneroka haram dilihat sebagai usaha bagi membanteras kegiatan pencerobohan itu agar tidak berleluasa. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH