Oleh: DATUK ABDUL RAHIM BAKRI
Mengenang suasana negara semasa awal merdeka, hidup rakyat rata-rata susah. Negara miskin, hasil kerajaan sedikit, pelaburan sedikit dan menjadi negara baru merdeka dari British yang serba mundur.
Di seluruh negara khususnya di luar bandar, tiada infrastruktur jalan langsung, kebanyakan jalan tikus atau jalan tanah merah berdebu.
Pengangkutan awam, kebanyakan mengguna kapal dan perahu menelusuri sungai dan laut, kereta hanya di bandar, itu pun sedikit.
Tiada bekalan letrik hanya lampu pelita mewah sikit dengan lampu pam, bekalan air minum, air telaga, air sungai dan air hujan tidak dirawat.
Sekolah atap nipah, lantai tanah, tidak ada dinding, guru sedikit setakat belajar asas pelajaran asas sahaja.
Hospital hanya di bandar utama, peralatan tidak cukup, doktor 1 atau 2 orang, ramai guna bomoh dan dukun untuk berubat.
Kesihatan awam rendah, nutrisi makanan rendah, air minum tidak dirawat, ramai dijangkiti cacing, kolera , TB, penyakit kulit berleluasa.
Peluang belajar ke peringkat tinggi terlalu sedikit dan hampir tiada- ramai belajar setakat sekolah rendah darjah enam, masuk ke universiti bagi ramai orang hanya impian.
Gaji penjawat awam seperti guru sekolah rendah, polis, jururawat atau pembantu am sekitar RM70-RM100 sahaja.
Amalan bertukar barang berleluasa di Pasar Tamu dan Pasar Rabu. Pertukaran wang tunai sangat minimum. Nelayan dan petani bertukar barang setakat untuk makan sahaja.
Majoriti mungkin 90 peratus rakyat miskin. Tiada pekerjaan tetap hanya setakat kerja sendiri – buruh, nelayan dan petani – kerja membanting tulang.
Rumah di sini sana usang atap nipah, dinding papan dan rumbia, lantai bambu atau nibung, perabot tidak ada, tidur atas tikar anyam.
Hiburan hanya radio, bermain guli, melastik burung, mencari buah-buahan hutan, bermain sukan rakyat sepak takraw, bola sepak.
Sebahagian jawatan penjawat awam dan teknokrat seperti jurutera , arkitek , peguam, doktor masih dikuasai oleh orang luar bawaan British.
Pokoknya rata-rata majoriti rakyat susah.
Setelah kita merdeka dari penjajah silih berganti ratusan tahun barulah kita mula berjaya dan dihormati.
Infrastruktur dalam semua sektor kita telah jauh bertambah baik.
Peluang pekerjaan banyak. Sehingga ada 5 juta orang asing menumpang rezeki di Malaysia.
Negara kita muncul negara termaju dalam kalangan negara dunia ketiga, di Asia dan di Asia Tenggara. Pendapatan rakyat semakin meningkat.
Melalui dasar ekonomi baru pula ramai anak pribumi miskin yang diberi ‘handicap’ masuk ke universiti melalui institusi bumiputera seperti ITM, UKM, UTM , MRSM, sekolah berasrama penuh.
Mereka dilatih untuk menjadi teknokrat. Kemasukan ke universiti dipermudah, biasiswa diberi untuk melatih mereka sama ada di dalam dan di universiti luar negara.
Pentadbir dan pengurus bumiputera telah semakin ramai yang berjaya dan mendapat status sosial yang tinggi.
Ramai memegang jawatan tinggi selain menjadi profesional seperti doktor pakar, usahawan berjaya dengan kehidupan lebih senang.
Semenjak merdeka kita tidak menjadi negara huru hara seperti diharap oleh bekas penjajah kita.
Negara kita sentiasa aman dan berjaya menghapus ancaman pengganas kominis, anarki dengan kekuatan kita sendiri.
Malaysia menjadi negara selamat, keadilan sosial terjaga, ramai negara rakan, kawan dan sekutu.
Anggota tentera kita tidak campur tangan secara langsung dalam politik dan bersikap profesional, ‘rule of law’ kita di tahap tinggi.
Terbukti dalam pengurusan pandemik dan kesan ekonomi yang paling serius sejak dua perang dunia pun kita masih boleh mengurus dan mengatasinya dengan baik.
Negara dan rakyat Malaysia kita harus dipuji walaupun kerajaan bertukar tangan selepas 61 tahun, tiada huru-hara, tiada rusuhan, tiada pergaduhan serius dalam peralihan kuasa.
Segalanya berlaku dengan tenang dan baik.
Oleh itu, marilah kita syukuri negara kita Malaysia dan jangan kita sesekali bersekongkol dengan musuh negara untuk merosakkan negara kita.
Jangan kita hina dan mengancam kestabilan negara kita.
Marilah kita bersyukur.
Jika kita tidak puas hati kita salur dengan cara baik, berhemah dan mengikut lunas lunas perlembagaan dan undang undang yang menjadi asas keteguhan negara kita.
Negaraku tidak ada lain melainkan MALAYSIA… Selamat menyambut Hari Merdeka yang ke-63.
Penulis ialah Timbalan Menteri Kewangan I