Hamas bincang isu Palestin dengan pemimpin Lebanon
2 SEPT: Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya akan mengadakan kunjungan rasmi ke Lebanon untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara tersebut.
Ahli Biro Perhubungan Arab dan Islam Hamas, Ali Baraka berkata, Ismail akan mengetuai delegasi kepimpinan kanan pergerakan pembebasan Palestin itu dalam kunjungan berkenaan.
Memetik laporan Palestinian Information Center, delegasi berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik Lebanon bagi membincangkan tentang perkembangan perjuangan Palestin dan hubungan Lebanon-Palestin.
“Ismail juga akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin puak-puak Palestin bagi berbincang tentang tindakan terhadap perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS), usaha membaiki hubungan dengan Israel, rancangan pengilhakan Tebing Barat dan cara-cara menanganinya,” kata Ali.
Beliau juga menekankan, pertemuan yang dijadualkan pada Khamis ini di Beirut bertujuan menyatupadukan pejuang-pejuang Palestin dan memperkukuhkan pertahanan dalaman Palestin untuk menghadapi sebarang cabaran.
Ismail turut dijadualkan melawat kem-kem pelarian Palestin dan bandar-bandar di Lebanon bagi menyuarakan solidariti rakyat Palestin terhadap Lebanon berikutan insiden letupan besar di Beirut.