2 SEPT: Malaysia memerlukan kepimpinan Melayu yang berteraskan Islam sebagai tonggak untuk memimpin sebuah negara yang stabil.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, namun, jika semangat kebangsaan Melayu ditegakkan tanpa roh Islam, maka semua bangsa tidak akan selamat.
Malah kata Ahli Parlimen Marang itu, ia akan menyebabkan kekacauan atas semangat kebangsaan yang sempit.
“Hanya bangsa Melayu yang ditegakkan bersama Islam akan menyelamatkan semua kaum lain dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan walaupun masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Presiden Pas itu juga mengingatkan yang Islam menerima fitrah kecintaan kepada bangsa sendiri tetapi menolak fanatik perkauman yang dijadikan akidah perjuangan.
Pas salah satu parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain mempunyai kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN).
Selain Pas dan UMNO, MN kini berkembang dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). -Oleh M. HERMAN HAMID