3 SEPT: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka didakwa dengan dua pertuduhan baru berkait pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.
Kedua-dua pertuduhan baru yang dijangka dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth itu dikatakan berkait skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, lapor portal berita The Edge Markets hari ini.
Portal berkenaan yang memetik sumber dari Jabatan Peguam Negara melaporkan, bekas Menteri Kewangan itu akan dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Sehari kemudian, beliau sekali lagi didakwa di mahkamah bersama isteri, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau mungkin didakwa di bawah Kanun Keseksaan pada Isnin ini oleh SPRM seperti mana laporan media sebenatar tadi.
“Saya baru dimaklumkan ada laporan akhbar bahawa SPRM hendak dakwa saya di bawah Kanun Keseksaan pada hari Isnin ini.
“Jelas sekali sumber yang bocorkan berita ini datang dari mana apabila hanya pihak tertentu sahaja ada maklumat sedemikian.
“Sama ada ini benar atau SPRM sasarkan saya atau ia secara kebetulan, saya akan teruskan perjuangan melawan kuasa rakus tanpa tunduk dan undur,” katanya menerusi Facebook beliau sebentar tadi.