3 SEPT: Stesen-stesen televisyen tempatan diminta supaya tidak menyiarkan drama-drama Melayu yang menarik pada jam 7 malam agar kaum wanita boleh menumpukan perhatian untuk solat maghrib.
Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengambil perhatian tentang isu tersebut.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya stesen-stesen televisyen tempatan mengisi slot berkenaan dengan rancangan-rancangan berunsur kerohanian yang dilihat lebih sesuai dengan waktu menjelang maghrib.
“Saya ingin juga bertanya dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia isu yang dibangkitkan oleh ibu-ibu iaitu tentang program cerita best ini ditayangkan pada jam 7 malam sebab masa ini ibu-ibu berperang dengan anak-anak, nak beribadat, nak sembahyang, nak mengajar anak mengaji al-Quran.
“Tetapi masa inilah ditayangkan cerita Tujuh Hari Mencintaiku 2 sampai ke seluruh Malaysia jadi tular sedangkan waktu itu pukul 7 malam kalau di Sabah dan Sarawak mungkin sesuai sebab selepas maghrib, katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Asmak mempersoalkan inisiatif Yayasan AIDS Malaysia dan One Condoms MY yang cuba mempromosikan seks selamat dengan mengagihkan kondom kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
Beliau bimbang usaha itu akan menimbulkan masalah lain seperti seks di luar nikah dalam golongan muda khususnya yang beragama Islam.
“Saya ini ustazah ada mengajar tentang penggunaan kondom kepada wanita kerana kondom sebagaian perancangan untuk kesihatan anak dan sebagainya bagi orang yang dah berkahwin. Tapi kenalkan kepada pelajar yang masih mentah, adakah dibenarkan pihak kementerian atau pihak universiti sendiri?
“Bagi kita umat Islam zina adalah dosa besar. Kalau dengan kondom boleh mencegah anak luar nikah tetapi kita tak pasti apakah penyakit lain yang kita dapat dari perlakuan zina ini yang sememangnya dosa besar bagi orang Muslim,” tegasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH