3 SEPT: Kerajaan disarankan mencari jalan terbaik untuk pastikan bekalan makanan utama seperti beras sentiasa terjamin walaupun negara berada dalam situasi krisis termasuk COVID-19.
Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad mempersoalkan tentang kadar import makanan yang melebihi RM50 bilion sedangkan negara ini luas dengan tanah yang boleh diusahakan dengan hasil pertanian.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan sumber makanan utama negara agar tidak terlalu mengharapkan bekalan makanan dari negara luar yang sebenarnya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak kerajaan di masa hadapan.
“Padahal kita yang duduk kampung banyak hasil pertanian kita tanaman sendiri, buat sendiri. Itu di peringkat individu dan kalau peringkat yang besar, kita mempunyai tanah yang luas. Persoalannya kenapa kita masih lagi mengimport makanan.
“Bayangkan kalau pandemik berterusan makan masa setahun bayangkan beras kita terpaksa bergantung dengan Thailand atau Myanmar dan COVID-19 ini fenomena global yang berlaku di seluruh dunia.
“Jika berterusan mereka mesti mengutamakan rakyat mereka dahulu dan mereka tidak akan eksport. Ketika itu wang sudah tidak ada erti,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH