3 SEPT: Identiti suspek yang melakukan kegiatan penipuan dalam talian seperti Macau Scam dan Love Scam sukar dikenal pasti kerana mereka menggunakan nombor telefon yang didaftarkan di luar negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, suspek-suspek juga kebiasaannya menggunakan protokol suara melalui internet (VOIP) sehingga menyebabkan mereka sukar dikesan.
“Sebab itu kita minta kerjasama daripada Bank Negara Malaysia untuk memperketatkan membuka akaun-akaun baharu di bank.
“Kedua, kita minta kerjasama dari syarikat telekomunikasi supaya apabila minta indentiti dan maklumat akaun telefon bimbit melibatkan pemanggil berkenaan dapat diberikan dengan segera.
“Sebab itu adalah salah satu perhatian serius dari PDRM kerana jenayah penipuan semakin meningkat dan menjejaskan sedikit sebanyak ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berhubung cabaran yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes-kes penipuan di negara ini.
Ismail menambah, PDRM turut mewujudkan laman Facebook yang dinamakan Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police untuk memberi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan dalam talian. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH