3 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akhirnya selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB hari ini.
Shahrol Azral, 50, saksi pendakwaan kesembilan, berada di tempat saksi selama 40 hari, mulai 23 Sept tahun lepas.
Memetik laporan Bernama, beliau disoal pihak pendakwaan semasa pemeriksaan utama selama enam hari bermula 23 Sept 2019 dan kemudian berdepan soalan pasukan pembelaan yang bermula 7 Okt 2019 sehingga hari ini serta pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan hari ini.
Semasa Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memaklumkan bahawa saksi berkenaan dilepaskan, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan berhasrat memanggil semula Shahrol Azral susulan dokumen baharu yang dikemukakan kepada saksi dan isu-isu lain yang timbul ketika beliau disoal semula Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
“Atas alasan itu, kami perlu melakukan pemeriksaan balas lebih lanjut terhadap saksi …. Saya agak terkejut dengan respons saksi kerana semasa pemeriksaan balas (oleh pasukan pembelaan) beliau mengatakan bahawa beliau tidak akan menjawab soalan berdasarkan andaian tetapi sekarang beliau menjawab …
“Demi keadilan perbicaraan ini, saya memohon agar kami dibenarkan melakukan pemeriksaan balas lebih lanjut terhadap saksi ini,” kata Wan Aizuddin.
Sequerah berkata beliau tidak menolak permohonan pasukan pembelaan tetapi beliau mahu meneruskan perbicaraan dengan saksi berikutnya pada Isnin ini.
“Saya tidak mengatakan tidak pada permohonan anda tetapi bila anda merasakan perlu untuk memanggil balik, kami akan membenarkan saksi dipanggil semula pada mana-mana peringkat. Sekiranya anda ingin memanggilnya, anda bebas untuk melakukannya.
“Oleh itu, Datuk Shahrol, saya melepaskan anda tertakluk untuk dipanggil semula, jadi kita dapat meneruskannya dengan saksi berikutnya,” kata hakim.
Sri Ram kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil pengganti Shahrol Azral, Mohd Hazem Abdul Rahman untuk memberi keterangan pada Isnini ini.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung Isnin.