3 SEPT: Untuk kesekian kalinya di Selangor, tindakan pemilik kilang melepaskan sisa buangan ke dalam sungai menyebabkan pengguna terpaksa menanggung akibat apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor terpaksa ditutup berikutan pencemaran kepada air mentah.
Terbaru, sebanyak 1,292 kawasan di Klang, Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hari ini.
Penutupan LRA terbabit disebabkan berlaku pencemaran air mentah disyaki berpunca daripada tindakan premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melepaskan sisa seakan pelarut ke sungai.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata, pencemaran itu masih dikesan di muka sauk LRA terbabit dan berada pada tahap 3 TON.
“Ketika ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan sebanyak 2,700 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan.
“Bermakna, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana keempat-empat loji dihenti tugas melebihi 10 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Elina berkata, menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Sungai Gong yang tercemar adalah anak sungai kepada Sungai Sembah iaitu anak sungai utama Sungai Selangor.
Beliau berkata, Air Selangor menyarankan pengguna mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang disediakan.
“Air Selangor akan mengagihkan 23,000 botol air minum berkapasiti lima liter untuk diagihkan kepada pengguna dan keutamaan diberikan kepada rumah unit bertingkat,” katanya.