3 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan terburu-buru membeli vaksin COVID-19 sebaliknya hanya akan berbuat demikian setelah ia benar-benar terbukti berkesan dan selamat digunakan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, buat masa ini kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan tiga fasa, dengan fasa terakhir adalah ujian ke atas manusia.
“Kita tunggu negara yang buat ujian klinikal seperti China yang membuat ujian di Emiriah Arab Bersatu dan Brazil. Rusia pula belum pun sampai tahap ujian klinikal ketiga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 di sini hari ini.
Adham ditanya mengenai perkembangan pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan susulan laporan sesetengah negara telah memulakan proses diplomasi bagi pembelian vaksin berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan belum mula membeli vaksin dan masih menggunakan diplomasi sains serta akses kepada negara yang boleh mengeluarkan vaksin berkenaan.
“KKM sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin dan negara-negara yang sedang membangunkam vaksin berkenaan,” katanya.
Mengenai saringan COVID-19 di pasar-pasar awam, Adham berkata KKM telah membuat saringan terhadap peniaga di 464 pasar di seluruh negara yang melibatkan 36,919 sampel (swab) dengan 287 (0.8 peratus) daripadanya didapati positif COVID-19.
“Saya hendak maklumkan pemeriksaan di pasar awam dilaksanakan berterusan kerana ini tempat sesak dan sempit. Kita tidak mahu ada kes COVID-19 di pasar,” kata Adham.