3 SEPT: Orang Melayu tidak mungkin mendapat peluang sama rata untuk berjaya sebagai usahawan jika kuasa politik jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu terbukti sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara apabila institusi milik orang Islam seperti Tabung Haji (TH) dikacau ganggu pemimpin bukan Islam hingga banyak aset miliknya dilelong.
Berikutan itu, Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Malaysia Berhad (PUNB) yakin orang Melayu tidak akan mengulangi kesilapan lalu.
“Insya-Allah saya yakin orang Melayu ini bijak, bagi peluang kita mungkin boleh menjadi bangsa yang hebat suatu hari nanti tapi dengan syarat politik mesti dalam tangan orang Melayu.
“Kalau kuasa terlepas, ekonomi pun terlepas, kuasa politik pun terlepas, jawabnya kita akan merintih di negeri sendiri. Bayangkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, ke mana anak cucu kita nak pergi,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Usahawan Bangkit Digital anjuran UMNO Bahagian Shah Alam, di Shah Alam, malam tadi.
Dalam pada itu, Noh juga memberi gambaran nasib agensi kerajaan khusus untuk membantu usahawan Melayu dan Bumiputera boleh terjejas dan terancam jika bangsa Melayu hilang kuasa politik.
“Kalau tak mampu sewa kilang sebab harga naik, PUNB masih ada boleh tolong beli kilang baharu, sebab kita masih ada kuasa (politik).
“Sebab PUNB ini khusus untuk bumiputera…kalau kita hilang kuasa saya bimbang, Tabung Haji dia boleh putar belit, apatah lagi PUNB.
“Tak mustahil…dia kata Menteri Pembangunan Usahawan sudah ada, kenapa PUNB mesti ada pula khusus untuk orang Melayu nak kena tolong. Bila-bila masa dia boleh tutup…macam-macam cara dia boleh buat…Tabung Haji dia boleh kacau, tambah pula PUNB.
“Tapi insya-Allah selagi kita ada kuasa politik, Insya-Allah hak orang Melayu tetap akan kita perjuang dan pertahankan,” katanya lagi.