3 SEPT: Dakwaan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin bahawa dia terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang Youtuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.
“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.
“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.
“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahidi memberitahu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang meningkatkan taraf capaian internet 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus namun masih ada beberapa kawasan titik buta termasuk di bandar.
Beliau turut mendedahkan vandalisme juga turut berlaku menyebabkan kerajaan sukar untuk menaik taraf capaian internet khususnya di luar bandar.
“Contoh, di Damansara Empire, banyak aduan kita terima tidak ada liputan kekuatan dia dan bila ada banyak penggunaan kita perlu tingkatkan dan kadang-kadang ada tidak menguntungkan syarikat telekomunikasi tidak mahu mempercepatkan untuk menambah menara dan menguatkan pemancar itu.
“Sesetengah kawasan luar bandar ada titik buta perlu segera kita tangani dan tambah alat pemancar. Banyak kawasan tersebut wujud di negara kita. Ada menara kita pakai set jana kuasa elektrik namun kena curi, ada kawasan kita tanam fiber turut dicuri. Ini antara masalahnya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH