4 SEPT: Sebanyak 42 hotel termasuk hotel terkemuka telah memohon pensijilan Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan jumlah itu masih kecil.
Katanya, semasa skim itu diperkenalkan pada Julai lepas menerusi Pusat Pelancongan Islam (ITC), ia menerima permohonan daripada 12 hotel dalam kategori yang berbeza.
“Bagaimanapun, menerusi kempen yang berterusan, pada majlis hari ini, ITC telah memproses 30 lagi permohonan termasuk daripada jenama terkemuka untuk menerima sijil pengiktirafan itu,” katanya ketika melancarkan logo MFAR di ibu negara.
Beliau menggesa lebih banyak pengusaha hotel dan penyedia penginapan untuk memohon MFAR bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi daripada pelancong Muslim di peringkat domestik.
Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan agar industri pelancongan di negara ini bersedia menerima semula ketibaan pelancong global ke Malaysia.
Menurutnya, Malaysia menerima 5.33 juta pelancong Muslim pada 2019, peningkatan 1.45 peratus berbanding 5.25 juta pada 2018 dengan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM16.72 bilion berbanding RM16.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya,10 pasaran utama yang menyumbang kepada prestasi itu ialah Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Arab Saudi, India, Pakistan, Thailand, China dan Iran.