4 SEPT: Perdamaian di antara Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merupakan satu tindakan tepat.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan merupakan lumrah politik dan kekuatan UMNO tidak terjejas dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Rahman, baru-baru ini.
Menurut beliau, perbezaan pendapat di antara kedua-dua pemipin UMNO itu juga bukanlah senjata buat pihak lawan untuk membawa isu tersebut sebagai peluru kempen dalam PRN Sabah.
“Tak jejaskan sangat dengan kenyataan Rahman Dahlan. Biasalah perselisihan faham dalam politik tapi nak guna sebagai peluru tembak tidak signifikan.
“Kerana akhirnya siapakah calon mereka dan bagaimana jentera itu membuat strategi mereka untuk mendapatkan undi lebih. Bagus bila mereka berdamai. Di peringkat akar umbi dan jentera nampak bagus kerana ada perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Pada 19 Ogos lalu, sekumpulan pemimpin UMNO Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN Sabah.
Salah faham di antara Bung Moktar Abdul Rahman berakhir selepas kedua-duanya berdamai pada Selasa lalu dan Bung Moktar mengakui apa yang berlaku sebelum ini adalah perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan dan perbezaan itu perlu dihormati secara positif.
Dalam perkembangan berkaitan, Firdausi memberitahu, sikap tolak ansur anggota gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam isu pemilihan calon, logo dan manifesto sewaktu PRN Sabah adalah sangat penting.
Katanya, perkara itu akan menentukan sama ada gabungan tersebut mampu menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai gabungan yang berjaya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH