Kes Indonesia bertambah, 134 kematian semalam
4 SEPT: Indonesia melaporkan 134 lagi kematian dengan 3,622 kes jangkitan baharu COVID-19 semalam, angka harian tertinggi yang direkodkan dalam tempoh 24 jam sejak enam minggu lalu.
Setakat ini, republik itu melaporkan 184,268 kes jangkitan dengan 7,750 kematian.
Kerajaan Malaysia Selasa lalu telah menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing dari tiga negara termasuk Indonesia berikutan peningkatan kes di negara terlibat.
Wilayah yang mencatatkan kes jangkitan baharu tertinggi ialah Jakarta dengan 1,359 kes, diikuti Jawa Timur (377), Jawa Tengah (242), Jawa Barat (238) dan Bali 174, lapor agensi berita Antara news yang memetik data rasmi negara itu.
Jambi satu-satunya wilayah yang tidak merekodkan kes jangkitan baharu pada Khamis.
Penularan wabak terbaru di Indonesia membabitkan sekurang-kurangnya 664 pelajar sekolah berasrama penuh Islam di Jawa Timur.
Kira-kira 6,000 pelajar sekolah Darussalam Blokagung dikuarantin selama dua minggu, kata seorang pegawai kementerian kesihatan pada Selasa.
Kebanyakan kes jangkitan mempunyai gejala ringan atau tidak bergejala tetapi polis dan tentera menyekat akses ke sekolah.
Seramai 2,084 pesakit keluar wad pada Khamis, menjadikan jumlah kes sembuh mencecah 132,055.
Sebanyak 44,463 kes aktif masih menerima rawatan dan diasingkan, sementara 84,071 kes disyaki sedang dipantau oleh pihak berkuasa.
Lebih 1.3 juta orang menjalani saringan COVID-19 sejak kes pertama dikesan pada Mac.