4 SEPT: Kementerian Alam Sekitar dan Air akan berunding dengan kerajaan negeri bagi memindahkan premis industri berhampiran kawasan aliran sungai, bagi mengelak insiden pencemaran sumber air berulang.
Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata tindakan itu perlu kerana kuasa memindahkan premis industri tertakluk di bawah bidang kerajaan negeri.
Berikutan itu, Zaini berkata, kementerian sedang menyediakan rang undang-undang (RUU) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.
“Ini termasuk bagi meminda hukuman denda jika sabit kesalahan kepada kadar lebih tinggi. Kita juga mahu memastikan mereka yang disabit kesalahan mencemarkan sungai, mendapat hukuman sewajarnya.
“Bukan sahaja mencemarkan sungai tetapi individu atau premis menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup (akibat pencemaran) juga akan disabitkan kesalahan. Setakat ini, perkara berkenaan tidak termaktub dalam perundangan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas lawatan dekat Ijok di sini, hari ini.
Lawatan itu susulan pencemaran bau di Sungai Gong, Batu Arang yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di Lembah Klang dan Selangor, sejak semalam.
Kejadian itu disyaki berpunca dari premis stor simpanan jentera, dikatakan beroperasi secara haram yang membuang minyak ke dalam sungai berkenaan.
Dalam pada itu, Zaini mengesahkan kementerian juga sudah menerima laporan tentang gangguan bekalan air yang dibekalkan oleh 4 buah loji utama Sungai Selangor iaitu Loji Rantau Panjang SSP 1, SSP2 dan SSP 3 sejak Khamis, 3 September 2020.
Beliau berkata insiden ini telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 1.2 juta akaun pengguna air di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersamaan 5 juta pengguna air di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Zaini berkata, pada 3 September 2020 pihak berkuasa pelbagai agensi diketuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
“Satu premis telah disyaki sebagai punca pencemaran dan sampel bahan bukti telah diperolehi untuk dianalisis dan pihak berkuasa sedang menungggu hasil analisis sampel bahan bukti untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan itu, premis terbabit sudah disita dan digantung operasi selama 2 minggu. Jika bahan pencemar dapat disahkan maka pihak penguatkuasa akan mengambil tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja remediasi tapak yang mengandungi bahan cemar juga akan dilaksanakan bermula hari ini untuk memastikan tidak ada bahan pencemaran yang masih bertompok ditebing sungai dan aliran sungai.
“Kos kerja-kerja remediasi ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyebabkan pencemaran. Justeru, semua pihak diminta untuk sama-sama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan bebas dari pencemaran.
“Kita bertangggungjawab untuk menjaga sumber air agar tidak disalah guna sehingga menyebabkan pencemaran yang menyusahkan orang ramai dan menjejaskan aktiviti pembangunan negara,” katanya.