4 SEPT: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita yang didakwa memfitnahnya berhubung percutiannya ke Belanda semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas organisasi media itu kerana membuat laporan palsu.
“Maka mana-mana orang yang membuat berita palsu di internet tunggulah surat guaman daripada saya.
“Saya hari ini telah uruskan satu surat guaman kepada satu syarikat pemberitaan yang membuat berita palsu tentang saya dan isteri ke Belanda. Saya harap tiada lagi pemberita yang akan membuat berita palsu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan RRIMNIAGA peringkat negeri Perak di Parit, hari ini.
Mohd Khairuddin mengulas laporan yang memaparkan gambarnya bersama isteri dengan berlatarbelakangkan kincir angin yang cukup sinonim dengan Belanda.
Beliau memberitahu, laporan tersebut yang memaparkan gambar beliau bersama isteri di Belanda adalah gambar lama yang diambil pada 2016.
“Saya ke Belanda bukan sekarang, pada 2016, 2017, 2018 dan 2019 untuk projek lain, bukan ketika PKPP ini, (ketika PKPP) hanya ke Turki sahaja.
“Gambar itu seingat saya pada 2016, saya ke Belanda untuk bertemu dengan pegawai di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membawa Israel ke muka pengadilan dalam satu kes jenayah terhadap Palestin.
“Hasil mesyuarat pada 2018 saya pergi lagi pada Mei 2019 untuk rundingan kedua dan sekarang dalam proses untuk dibawa ke mahkamah,” jelasnya.
Mengenai siasatan berhubung kes melanggar arahan kuarantin wajib, Mohd Khairuddin berkata, beliau masih menunggu perkembangan daripada pihak polis.