5 SEPT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menjangka vaksin COVID-19 dapat dihasilkan secara besar-besaran sebelum pertengahan tahun depan.
Jangkaan itu berbeza dengan sikap optimistik kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan pengeluaran vaksin tersebut dalam masa beberapa minggu lagi.
Memetik laporan AFP, WHO tidak akan menyokong vaksin yang belum terbukti selamat dan berkesan, seiring kebimbangan terhadap tindakan menghasilkan suntikan berkenaan secara tergesa-gesa.
WHO turut menyambut baik laporan bahawa sebilangan usaha menghasilkan vaksin berkenaan sudah memasuki ujian peringkat akhir yang lazimnya membabitkan puluhan ribu orang.
Namun jurucakapnya, Margaret Harris, menjelaskan dengan mengambil kira garis masa realistik, pihaknya betul-betul tidak menjangkakan vaksin meluas hingga pertengahan tahun depan.
Russia sudah meluluskan satu vaksin, dan penyelidikan diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, semalam, menyatakan bahawa pesakit terbabit dalam ujian awal berjaya menghasilkan antibodi ‘tanpa kejadian buruk yang serius’.
Walau bagaimanapun, saintis memberi amaran bahawa ujian itu terlalu kecil, iaitu hanya membabitkan 76 peserta, bagi membuktikan keselamatan dan keberkesanannya.
Dalam pada itu, AS menjangka vaksin akan dikeluarkan menjelang 1 November ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump tergesa-gesa untuk mengagihkannya sebelum pilihan raya pada 3 November.
AS berdepan dengan jumlah kematian dan jangkitan tertinggi COVID-19 di dunia, setakat ini.
Mengikut prosedur normal, pentadbir ujian mesti menunggu selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk mengesahkan bahawa vaksin itu adalah selamat dan berkesan.