5 SEPT: Pembayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada kerajaan tahun ini akan bergantung kepada kemampuannya berikutan penurunan harga minyak dan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi prestasi kewangannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi kewangan akhir tahun Petronas akan menjadi panduan untuk menentukan perkara itu selain perlu membincangkannya di peringkat lembaga pengarah dengan tertakluk kepada kemampuan Petronas.
Menurut beliau, tiada tekanan daripada kerajaan ke atas syarikat memandangkan Petronas sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Industri ini mengalami ketidaktentuan, dan seperti juga syarikat minyak dan gas yang lain, pemegang saham cenderung untuk tidak menyaksikan banyak pulangan.
“Kerajaan tidak memaksa Petronas untuk membayar dividen setakat ini, mereka menyedari komitmen perbelanjaan modal, pelaburan dan tanggungjawab kewangan syarikat ini,” katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama 2020 Petronas.
Tengku Muhammad Taufik menambah, walaupun keadaan pasaran tidak menentu dan prestasi kewangan lebih rendah semasa tempoh itu, Petronas masih merekodkan aliran tunai yang positif iaitu RM26.3 bilion.
Beliau berkata, Petronas komited untuk melaksanakan semua langkah diperlukan ke arah pemulihan yang akan melibatkan pembentukan semula gabungan portfolio, melengkapkan kembali keseimbangan modal insan dengan kaedah baharu atau sesuai di samping menekankan pelaksanaan bertumpuan secara pantas.