5 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat membidas keputusan Serbia memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
Beliau juga menganggap tindakan itu menjadikan Palestin ‘mangsa’ dalam usaha Presiden Donald Trump untuk dilantik semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
“Palestin telah menjadi mangsa cita-cita pilihan raya Presiden Trump di mana pasukannya akan mengambil apa jua tindakan, tanpa mengambil kira betapa ia memusnahkan keamanan… demi mencapai pemilihan semula beliau pada November depan.
“Ini, sama seperti perjanjian Emiriah Arab Bersatu (UAE) – Israel, bukan mengenai keamanan Asia Barat,” katanya melalui ciapan Twitter.
Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan Serbia akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, sekali gus menjadi negara Eropah pertama menyusuli langkah AS.