6 SEPT: Sebanyak enam kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan hanya melibatkan tiga jangkitan dalam negara yang dilaporkan di Sabah dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes penularan tempatan adalah dari kluster Bentng LD yang melibatkan kontak rapat dan anak saudara kepada kes sebelum ini.
Kata beliau, kes berkenaan kini dirawat di Hospital Tawau dengan salah seorang daripadanya yang bergejala ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan lanjut.
Menurutnya, sehingga tengah hari ini, seramai 776 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan Lahad Datu dan Tawau dengan 434 masih menunggu keputusan manakala 16 dilapor positif.
“Satu lagi kes tempatan ialah di Pulau Pinang melibatkan kes jangkitan respiratori akut teruk (SARI) yang dikesan di sebuah pusat perubatan dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Noor Hisham, bagi kes import, ketuga-tiganya melibatkan bukan warganegara dengan dua kes dilaporkan melibatkan jangkitan dari Indonesia manakala satu lagi dari Bangladesh.
Katanya, ketiga-tiga kes berkenaan dilaporkan di Kuala Lumpur.
“Sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Adalah dimaklumkan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes,” katanya.
Tambah beliau, dua kes sembuh dilaporkan dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehkan COVID-19 sebanyak 154 kes.
Sementara itu, Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia bahawa hanya dengan kepatuhan kepada nasihat kesihatan mampu mengekalkan keselamatan negara dari ancaman COVID-19. -Oleh M. HERMAN HAMID