6 SEPT: Penjawat awam di setiap kementerian serta jabatan kerajaan perlu meninggalkan budaya kerja lama dan kini harus bekerja dengan lebih pantas dan efisien.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ini perlu dilaksanakan memastikan semua projek serta program dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.
Menurut beliau, sejak pandemik COVID-19 melanda, diikuti pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak perancangan yang sudah di rancang terpaksa ditangguhkan.
“Seandainya kita masih lagi bergelut dan terikat dengan alasan serta masih menggunakan tatacara kerja yang lama, kita khuatir pemulihan ekonomi negara akan mengambil masa lebih panjang.
“Kita sudah tangguh projek dan program ini dalam tempoh yang lama kerana COVID-19. Oleh itu, saya dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman) tetapkan KPI untuk KSU dan Ketua Pengarah bagi memastikan semua yang dirancang dapat digerakkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kelestarian Malaysiaku Indah, di Padang Semarak Taman Wetland Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zuki menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk semua ketua setiausaha kementerian (KSU) dan ketua pengarah (KP) jabatan bagi memastikan program-program menggerakkan ekonomi pasca COVID-19 dilaksanakan mengikut perancangan.
Tambahnya, KSU mahupun KP yang ‘gagal’ dalam menggerakan projek mengikut ketetapan yang dibuat akan dihadapkan ke jawatankuasa di peringkatnya.
“Perlu ada alasan munasabah untuk di pertimbangkan. Itu akan di pertimbangkan di sebuah jawatankuasa peringkat saya dan KPPA serta beberapa ahli yang dilantik nanti,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan kadar pengangguran yang sedang melanda negara berikutan Covid-19, beliau berkata, kerajaan sedang menelitinya dengan serius dan akan membuat pengumuman tentangnya kelak.
“Hal itu memang dalam perhatian kerajaan. Jika dilihat sudah banyak usaha kerajaan dalam melaksanakan program menggerakkan ekonomi negara serta memastikan mereka yang terjejas atau hilang pekerjaan akibat COVID-19 dalam perhatian kerajaan.
“Buat masa ini saya tidak boleh perincikan apa-apa lagi tapi sudah ada perancangan, nanti kita akan umum bila tiba masanya,” katanya.