7 SEPT: Dua pekerja sebuah kilang yang terlibat dengan kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang ditahan reman enam hari mulai hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Terdahulu, kedua-dua lelaki berusia 20 dan 57 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 9.15 pagi ini selepas ditahan semalam di sebuah premis di Jalan Batu Arang, Rawang.
Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 5 September lepas, empat pengurus kilang direman enam hari sehingga Khamis ini berhubung kejadian sama mengikut seksyen serupa.
Kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 merupakan adik beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.
Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan jutaan pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.