7 SEPT: Parti Warisan Sabah (Warisan) didakwa memutar belit mengenai pengukuran tanah yang diberi kepada rakyat semata-mata untuk memancing undi bagi meraih sokongan mereka.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohamad Azmi Amir Husin menjelaskan, proses mengukur tanah perlu mengambil masa yang lama.
Malah, beliau memberitahu, pengukuran sebenarnya dilakukan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan bukannya Warisan yang hanya tahu menuai hasil yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Bilakah kerajaan Warisan mengarahkan untuk buat pengukuran tanah? Kerana kita tahu, untuk mengukur geran sebanyak itu perlu mengambil masa bertahun lamanya.
“Dana mana yang kerajaan Warisan gunakan? Kerana kita tidak pernah mendengar kerajaan Warisan meluluskan mana-mana dana untuk pengukuran geran-geran tersebut.
“Kita pernah dengar dana diluluskan melalui program PANTAS tapi itu adalah dana sewaktu kerajaan BN memerintah. Adakah ini satu lagi cerita, lembu punya susu, sapi yang dapat nama?” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Baru-baru ini, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan geran tanah di beberapa tempat di seluruh negeri sedangkan sewajarnya beliau tidak boleh berbuat demikian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan.
Malah, beliau menuduh kelewatan proses pewartaan dan penyerahan geran tanah kepada penduduk kampung adalah berpunca daripada pentadbiran sebelum ini.