7 SEPT: Sebanyak 55 kawasan yang sepatutnya menerima bekalan air 12 tengah malam tadi namun masih belum menerimanya disebabkan penyimpanan air berlebihan oleh pengguna di kawasan yang mula menerima bekalan air.
Oleh itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menasihatkan pengguna agar tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan,
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, 319 kawasan masih dalam proses pemulihan air manakala sebanyak 973 kawasan telah mendapat bekalan air sepenuhnya setakat jam 12.30 tengah hari ini.
“Secara keseluruhan, kira-kira 75.31 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ituu telah pulih sepenuhnya.
“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Elina memberitahu, kawasan Hulu Selangor sahaja telah pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air tidak berjadual dengan peratusan 100 peratus.
“Ia disusuli dengan kawasan Kuala Selangor (99.25%), Petaling (92.43%), Gombak (76.64%), Kuala Lumpur (52.63%), Kuala Langat (50%) dan Klang/Shah Alam (38.42%),” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna agar tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.
Tambahnya, pihaknya juga menasihatkan para pengguna bagi mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berkaitan dengan ini.
“Para pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.
“Pihak kami mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH