7 SEPT: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memperkasakan agenda bumiputera sebagai agenda nasional dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan mendapati meskipun pelbagai usaha telah dilakukan dan kejayaan dicapai, namun, kedudukan sosioekonomi bumiputera masih perlu dilonjakkan.
Muhyiddin berkata, secara perbandingan, tahap kemiskinan bumiputera adalah sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2019 berbanding kaum lain manakala, kadar pengangguran bumiputera bagi suku kedua tahun 2020, adalah sebanyak 5.2 peratus, berbanding Purata Nasional sebanyak 5.1 peratus.
Beliau yang juga Ahli Parlimen BERSATU Pagoh berkata, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat pula cuma berada pada tahap 16.2 peratus pada tahun 2015 berbanding bukan bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.
“Berikutan itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
“Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya dan dianggotai oleh beberapa anggota Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tokoh perniagaan bumiputera,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.
Muhyiddin menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang meminta Perdana Menteri menyatakan pelaksanaan dan keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dilihat dijadikan platform tertinggi dalam usaha memperkasakan pembangunan sosioekonomi bumiputera.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, MKB akan bertindak sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera.
Muhyiddin berkata, penubuhan majlis berkenaan juga adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.
Beliau berkata, kerajaan juga menubuhkan dua jawatan kuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memastikan penubuhan majlis berkenaan mencapai objektif penubuhannya.
Katanya, kedua-dua jawatankuasa berkenaan akan bersidang secara berkala serta membabitkan semua agensi pelaksana berkaitan dan Jawatankuasa Pemandu Majlis sudah pun bersidang buat kali, pada 11 Ogos 2020.
“TERAJU telah diberi mandat sebagai agensi penyelaras utama bagi intervensi strategik, inisiatif dan program pembangunan sosio ekonomi bumiputera, serta pembangunan pangkalan data bumiputera, yang merentasi kesemua kementerian, agensi dan GLC.
“Kerajaan akan memperkemas dan menambah baik pangkalan data berpusat bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik yang akan dipacu oleh MKB ini.
“Pencapaian kementerian, agensi dan GLC dalam mengerakkan agenda pemerkasaan bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja petunjuk prestasi utama (KPI) yang membabitkan semua ketua agensi berkaitan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI