7 SEPT: Antara modal yang sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah menghasut rakyat di negeri itu menolak parti-parti dari Semenanjung Malaysia.
Parti-parti yang dimaksudkan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan PAS.
Namun, pada masa yang sama, mereka bekerjasama dengan parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, PKR dan PAN dalam gabungan yang dinamakan Warisan Plus.
Malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sanggup berunding dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengagihan kerusi melibatkan parti yang juga dari Semenanjung Malaysia itu.
Sikap ‘cakap tak serupa bikin’ itu ditempelak oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam ciapan Twitter miliknya.
“Ceramah Warisan banyak mengatakan tolak parti MALAYA, kalau nak tolak kenapa dan mengapa mahu runding kerusi untuk bertanding pula?” katanya.
Sementara itu, Anwar dalam laman Facebook miliknya menuntut agar PKR dberi peluang yang saksama dalam pembahagian kerusi untuk PRN Sabah.
“Saya sampaikan hasrat PKR selaku rakan sekutu untuk terus diberikan ruang dengan adil dan saksama sebagai parti yang mempunyai sejarah di Sabah,” katanya bagi mengulas pertemuan dengan Mohd Shafie dan pemimpin-pemimpin Warisan di Kota Kinabalu, pagi semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN