7 SEPT: Timbalan Menteri, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, akan mengadakan pertemuan dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin pada 12 September ini bagi menyelesaikan isu berhubung jawapannya dalam sidang Dewan Negara, Khamis lalu
Beliau yang juga Ahli Parlimen BN Padang Besar juga bersedia memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Veveonah jika berlaku salah faham dan maklumat salah diterimanya berhubung isu terbabit sebelum ini.
“Berhubung pertikaian ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’ yang dipertikaikan saya ingin menjelaskan bahawa kita sudah mendapat maklumat isu berkenaan sudah dirujuk kepada wakil rakyat dan berdasarkan memaklumkan kepada saya institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit bahawa tiada peperiksaan dijalankan pada hari terbabit.
“Justeru itu, saya akan ke UMS dan bertemu dengan pensyarah dan kakitangannya dan Veveonah dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat sebenar. Kalau maklumat kita terima berkenaan ada salah faham maka kita akan memohon maaf sekali lagi… perkara berkenan tidak perlu dipolitikkan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Zahidi menggesa semua pihak terutama parti pembangkang dan DAP supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan kerana beliau sudah memohon maaf berhubung kesilapannya sebelum ini.
Beliau berkata, pemimpin pembangkang terutamanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang sengaja membangkitkan dan memperbesarkan isu berkenaan.
“Guan Eng dan Kit Siang sengaja membangkitkan isu ini bagi menutup dan mengalihkan tumpuan rakyat terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Menteri Kewangan dan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan yang sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Zahidi memohon maaf dan berkata beliau mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.
Dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara Khamis lalu, beliau menyatakan, siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.
Namun, Veveonah menafikan kenyataan Zahidi dan menyatakan bahawa dia memang mengambil peperiksaan secara dalam talian. – Oleh HAIKA KHAZI