8 SEPT: Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya menyeru kepada pembentukan kerajaan perpaduan Palestin bagi menyelesaikan perpecahan di negara itu.
Memetik laporan Palestine Television, beliau berkata, terdapat tiga tugas penting yang perlu dilaksanakan kerajaan perpaduan di Tebing Barat dan Gaza tersebut.
Ismail menjelaskan, tugas pertama adalah untuk menyatukan institusi-institusi di bawah Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
“Tugas kedua adalah untuk membuat persiapan bagi pilihan raya perwakilan dan presiden serta Jawatankuasa Kebangsaan.
“Tugas ketiga adalah untuk menamatkan sekatan rejim Zionis Israel terhadap Gaza dan menentang pendudukan serta rancangan mereka di Tebing Barat,” katanya.
Beliau menambah, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu perpaduan Palestin.
Penubuhan jawatankuasa tersebut adalah hasil mesyuarat pemimpin-pemimpin Palestin yang turut dihadiri Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas di Ramalah dan Beirut, Khamis lalu.