8 SEPT: Antara kempen yang sering digunakan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah menghasut rakyat menolak parti-parti dari Semenanjung agar tidak masuk campur dalam politik Sabah.
Namun, slogan yang sering dimainkan itu akhirnya memakan diri apabila Warisan sendiri bekerjasama dengan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) yang juga dari Semenanjung sebelum dan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pimpinan Warisan seharusnya mengotakan kata-kata mereka dengan menolak kerjasama dengan parti dari Semenanjung sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
“Laungan Warisan yang dulu iaitu… ‘Sabah for Sabahan’ umpama ‘meludah ke langit terkena ke muka sendiri’.
“Walaupun mereka mengatakan menolak parti dari Semenanjung, namun juga Warisan bekerjasama dengan PKR, DAP dan PAN yang berpusat di Semenanjung.
“Tanpa parti-parti ini, tidak mungkin mereka akan memerintah negeri ini pada PRU lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Andi yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia memberitahu UMNO sebenarnya tidak ketandusan orang-orang muda malah semakin ramai golongan muda kini aktif dalam parti.
Tambahnya, golongan muda sudah sedar bahawa UMNO sahaja yang boleh memartabatkan perjuangan malah pada PRN Sabah ini dijangkakan pemimpin muda diberi ruang dan peluang untuk bertanding.
“Sejak dari awal penubuhan, UMNO tidak lekang dengan pemimpin-pemimpin muda yang menjadi pelapis kepada kepimpinan sedia ada. Malahan dijangkakan pada PRN Sabah akan datang, beberapa pemimpin muda akan diberikan ruang untuk bertanding menjadi calon.
“Harapan terbuka luas untuk anak muda yang ingin berpolitik dan mencurahkan idea, berbakti dan khidmat dalam parti UMNO ini,” tegasnya.