9 SEPT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang membina lebih banyak kolam takungan di sepanjang sungai di Selangor, pada masa depan.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah berkenaan perlu bagi memastikan rakyat terus mendapat sumber air altenatif yang bersih dari kolam takungan ketika krisis bekalan air akibat pencemaran sungai.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, ketika ini kerajaan sudah membina dua kolam takungan besar berhampiran Sungai Semenyih dan Sungai Labu.
“Jadi kita bercadang membina lebih banyak kolam takungan berhampiran sungai di Selangor bagi membolehkan ianya digunakan sebagai sumber bekalan air bersih altenatif sekiranya loji air sedia ada terpaksa dihentikan akibat pencemaran.
“Jika berlaku pencemaran muka sauk di sungai maka kita akan pamkan sumber air bersih dari kolam takungan ke loji air berhampiran untuk dirawat sebelum diagihkan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim juga mengesahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memasang lebih banyak peralatan bagi mengesan pencemaran air di negara ini.
Menurut beliau, KASA berharap langkah itu dapat mengurangkan kes pencemaran sungai berlaku di Malaysia pada masa depan.
“Saya gembira kerana masalah bekalan air di Selangor akibat pencemaran Sungai Gong di Rawang kini beransur-ansur pulih, malah suspek pelaku terbabit juga sudah didakwa di mahkamah,” katanya.