9 SEPT: Sejumlah RM2.58 bilion peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) untuk projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, Ke-10 dan Ke-11.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, setakat 31 Julai lalu, SEDIA telah menyalurkan 95.57 peratus atau RM2.47 bilion peruntukan tersebut untuk membiayai pelbagai projek fizikal dan penyelidikan di Sabah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kudat memberitahu, projek yang dibiayai meliputi penilaian impak dan kajian kelayakan, peningkatan infrastruktur pelancongan, komponen dalam projek agropolitan, perluasan Terminal Kontena Sapangar Bay, dan membangunkan Sabah Agro-Industrial Precinct.
“SDC telah berjaya menarik pelaburan ke Sabah sejak dilancarkan pada tahun 2008.
“Sehingga bulan Mac tahun ini, SDC telah berjaya menarik pelaburan komited terkumpul sebanyak RM178.70 bilion, di mana RM85.06 bilion pelaburan telah direalisasikan,” katanya ketika berucap pada sesi kumpulan fokus wakil-wakil industri pelancongan Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan dan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Alan Abdul Rahim.
Abdul Rahim menambah, dalam pelaburan tersebut, industri pelancongan memperoleh pelaburan terkumpul berjumlah RM31.58 bilion dan pelaburan direalisasikan adalah sebanyak RM857.86 juta.
Menurut beliau, industri pertanian merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM6.53 bilion dan pelaburan direalisasikan adalah sebanyak RM1.10 bilion.
“Bagi membantu para peserta usahawan bumiputera di bawah Program Pembangunan Usahawan Bumiputera SDC, SEDIA dengan kerjasama TERAJU telah menyalurkan bantuan kepada 34 usahawan yang layak, masing-masing menerima RM3,000 melalui Bantuan Khas COVID-19 TERAJU,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN