10 SEPT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bercadang untuk membuka semula program penajaan My Brain15 yang telah dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman berkata, pihak kementerian telah pun mengemukakan cadangan tersebut kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar program tersebut dapat diwujudkan semula oleh kerajaan.
“Perlu diteruskan di atas kejayaannya memberi penajaan kepada 59,910 pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 30,427 atau 53.5 peratus graduan telah berjaya menamatkan pasca siswazah manakala 26,483 pelajar masih meneruskan pengajian.
“Dan dalam usaha menambahkan lagi sumber pembiayaan kewangan kepada pelajar, kementerian turut bekerjasama rapat dengan Yayasan Tenaga Nasional bagi menyediakan pembiayaaan kewangan kepada pelajar yang berkelayakan melalui program ‘My Brighter Future’,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.
Mansor berkata, selain dua program tersebut, KPT turut menyediakan pelbagai bantuan kewangan yang ditawarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Antara inisiatif tersebut adalah seperti MyBrainScience, Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Pelajar OKU,”katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, empat garis panduan telah diwujudkan oleh KPT dalam memastikan kebolehpasaran graduan ditingkatkan khususnya dalam menghadapi pasca pandemik COVID-19.
Menurut beliau, strategi yang menjadi fokus utama pihaknya adalah memantapkan pelaksaaan program, memudah cara pelajar mendaftar pengajian, melaksanakan padanan pekerjaan kepada graduan masih belum bekerja dan meningkatkan pelaksanaan program-program keusahawanan
“Pelan PENJANA di kementerian memberi fokus latihan kemahiran dan latihan peningkatan yang dapat memberi nilai kebolehpasaran graduan melalui pensijilan-pensijilan kompetesi kemahiran dalam bidang-bidang khusus yang diperlukan industri di samping meningkatkan sahsiah mereka.
“Graduan yang mengikuti program ini akan terus dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai di industri setelah menamatkan latihan kemahiran itu. Selain itu, latihan kemahiran keusahawanan turut disediakan kepada pelajar yang berminat.
“Sesi padanan dengan agensi penyedia dana perniagaan turut diadakan bagi memastikan peserta dapat memulakan perniagaan dan menjana pendapat sendiri sebaik sahaja program tersebut berakhir,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH