10 SEPT: Parti Cinta Sabah (PCS) akan meletakkan calon di kesemua 73 kerusi yang dipertandingkan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan manakala Naib Presidennya, Datuk Dr Ewon Ebin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bertanding di DUN Kundasang.
Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, 70 calon diumumkan pada hari ini dan baki calon untuk tiga kerusi lagi akan diketahui pada hari penamaan, Sabtu ini.
Katanya, tiga kerusi yang akan diumumkan itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Banggi dan Matunggong.
Menurutnya, calon tiga DUN itu tidak dapat diumumkan hari ini kerana ada isu perlu diselesaikan namun menegaskan parti itu akan meletakkan calon di semua DUN.
“Saya percaya semua kawasan di Sabah menginginkan calon PCS bertanding. Kita berada di sini untuk berkhidmat untuk rakyat.
“Jelas bahawa jika kita tidak bertanding sebanyak 73 kerusi, kita tidak boleh membentuk kerajaan. Kita mahu menang kerana kita mahu mentadbir Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pengumuman Calon dan Penyerahan Watikah Calon PCS, di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata, PCS akan melancarkan manifesto yang dirangka khas untuk orang Sabah.
“Manifesto ini dirangka dengan meletakkan kepentingan Sabah sebagai perkara paling utama.
“Ia merangkumi beberapa teras seperti mewujudkan satu kementerian baru khas untuk minyak dan gas, menjamin kedaulatan Sabah, MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), pendidikan dan kemahiran, pembangunan infrastruktur dan kebajikan wanita serta belia.
“PCS mempunyai misi dan visi untuk memperjuang hak dan keistimewaan Sabah seperti yang termaktub dalam IGC62, MA63 dan Perlembagaan Malaysia.
“Kita akan tetap berpegang kepada perjuangan ini jika kita diberi mandat untuk membentuk kerajaan Sabah,” katanya.