11 SEPT: Pas mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada parti rakan yang lain untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi setelah usaha rundingan dimuktamadkan.
“Pas mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah.
“Demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Justeru, menurut beliau, sokongan jentera dan ahli-ahli Pas dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat.
“Keutamaan Pas adalah persiapan untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka dalam masa terdekat, di samping komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Terdahulu, Pas pernah menyatakan hasrat bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah dan berharap tiada pertembungan tiga penjuru.
Namun, pada pengumuman calon oleh Barisan Nasional (BN) dan PN memperlihatkan tiada calon Pas pada PRN Sabah. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH