11 SEPT: Sebuah gudang milik tentera di pinggir bandar Zarqa, Jordan musnah dalam letupan besar yang dipercayai akibat lintar pintas elektrik, pagi ini.
Memetik laporan Arab News, Menteri Hal Ehwal Media Jordan, Amjad Adaileh berkata, gudang tersebut menyimpan bom mortar lama milik tentera.
Seperti yang dimaklumkan tentera Jordan, letupan meletus di salah satu depot peluru yang dalam proses perobohan.
“Menurut ibu pejabat pasukan tentera, setakat ini, tiada kecederaan direkodkan akibat letupan itu,” jelas Adaileh.
Gudang itu terletak jauh dari kawasan awam, manakala bunyi letupan berkenaan dilaporkan boleh didengar hingga sejauh 30 kilometer.
Sumber memberitahu Arab News, pihak tentera sudah menutup kawasan letupan terbabit, sementara pasukan pertahanan awam berusaha memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
Selain itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca letupan berkenaan.
Dalam pada itu, tentera Jordan memaklumkan bahawa butiran lanjut berhubung kejadian berkenaan akan dikeluarkan kemudian, sekali gus meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu.