11 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai mesej tular yang mendakwa lebih 4.5 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pengundi yang sah.
SPR dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan kononnya kenyataan daripada Pengerusi SPR itu adalah tidak berasas.
“Hakikatnya, warganegara yang berusia 18 tahun ini masih belum dibenarkan mendaftar sebagai pengundi.
“Ini kerana SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14,” katanya.
Mengulas lanjut, SPR berkata, persiapan terbabit termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Menurut SPR, semua perkara itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dengan jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta supaya tidak terpengaruh dan tidak menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut termasuk perkongsian dalam media sosial kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan.
“Malah, tindakan menyebarkan maklumat tidak benar dan berunsurkan perkauman ini boleh menggugat ketenteraman awam dan tindakan perundangan boleh diambil ke atas mereka yang terbabit,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI