11 SEPT: Hamas mengecam sekeras-kerasnya Liga Arab kerana menggugurkan draf resolusi membantah usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalinkan hubungan baik dengan Israel.
Memetik laporan Palestinian Information Center, Hamas berkata, pendirian itu menggambarkan bahawa Liga Arab telah mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya terhadap Palestin dan perjuangan rakyatnya.
Malah, Hamas menuduh Liga Arab bersekongkol dengan usaha membaiki hubungan dengan rejim Zionis Israel.
Hamas turut membidas Liga Arab kerana tidak mempedulikan pencabulan dan jenayah berterusan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan negara mereka.
“Tindakan Liga Arab menolak resolusi Palestin yang berpunca daripada kelemahannya menunjukkan bahawa terhadap usaha meneruskan pendudukan haram Israel dengan melindunhi dan menyokong tindakan pemerintah UAE,” kata Hamas.
Pergerakan pembebasan Palestin itu juga mengecam Liga Arab kerana mengubah pendiriannya yang menyeru kepada usaha mengembalikan hak rakyat Palestin terlebih dahulu sebelum proses normalisasi seperti yang ditegaskan dalam sidang kemuncak Beirut.
Hamas menambah, Liga Arab telah mengetepikan pendirian terdahulunya yang berasaskan matlamat mempertahankan kepentingan Arab daripada ancaman luar, terutamanya dalam isu pendudukan haram rejim Zionis Israel di Palestin.