11 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, esok selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, sekarang.
Berikutan itu, Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, semua penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.
Menurut beliau, SPR juga tidak membenarkan semua aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.
“Pada hari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 73 bahagian pilihan raya yang berkenaan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka.
“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang terbabit dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ikmalrudin turut menasihatkan semua bakal calon untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
Katanya, ia bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon,” jelasnya.
Beliau menambah, SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI