11 SEPT: Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) menyelamatkan ibu negara daripada banjir lebih buruk semalam, apabila tiga juta meter padu air daripada hujan lebat dilencongkan ke kolam takungan lain.
Pengaktifan Mod Empat bagi melencongkan air itu adalah kali ketujuh pernah dilakukan pusat kawalan SMART, sejak terowong yang juga lebuh raya lintasan Kuala Lumpur beroperasi pada 2007.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata hujan lebat bermula jam 1 tengah hari hingga 6 petang semalam, menyaksikan 13 stesen hujan merekodkan bacaan melebihi 100 milimeter (mm).
Katanya, sebuah stesen berasingan iaitu Gombak Simpang 3 mencatatkan bacaan melebihi 200 mm, sekali gus menyebabkan sekitar kawasan utama dekat Kuala Lumpur ditenggelami air sedalam 0.9 meter.
“Banjir kilat disebabkan hujan lebat berpanjangan melebihi tiga jam dan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung air larian permukaan yang banyak.
“Kebanyakan tempat dilanda banjir adalah kawasan rendah, berbanding kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui media di Ibu pejabat JPS hari ini.
Berdasarkan rekod, sistem kawalan banjir bandar raya Kuala Lumpur diaktifkan dan beroperasi sepenuhnya, selepas hujan yang bermula pada sekitar jam 1 tengah hari dekat ibu kota tidak menunjukkan petanda untuk berhenti.
Susulan itu, Lencongan Gombak yang berfungsi untuk mengalihkan aliran air ke kolam takungan banjir Batu diaktifkan pada jam 2.22 petang, manakala pendekatan sama dilakukan terhadap Lencongan Keroh, tiga minit berikutnya.
Nor Hisham berkata, pusat kawalan SMART pula mengambil tindakan dengan memulakan lencongan pada jam 2.50 petang dan mengaktifkan mod empat, iaitu penutupan sepenuhnya terowong pada jam 4.40 petang.
“Sejumlah tiga juta meter padu air disalurkan dan ia berjaya mengelakkan kawasan bandar raya Kuala Lumpur daripada mengalami banjir besar sehingga mengakibatkan kawasan seluar 15 hektar boleh tenggelam.
“Sebanyak enam kolam takungan banjir juga berada pada kapasiti penuh, iaitu menjangkau 12.2 juta meter padu air, namun Kuala Lumpur masih dilanda banjir dan dinaiki air sehingga 0.9 meter,” katanya.
Mengulas limpahan air sungai sehingga menenggelamkan kawasan Masjid Jamek, Nor Hisham berkata, paras air di dua lembangan sungai utama, iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak hanya melepasi tebing untuk tempoh 15 minit.