12 SEPT: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal dicabar dalam saingan lima penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Selain calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Muhamad Ismail Ayob, Bung Moktar ditentang seorang calon Bebas dan dua lagi calon parti tempatan.,
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lamag, Suhaimi Ejip sebentar tadi.
Menurut Suhaimi, Muhamad Ismail calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.01.
Ini kemudian diikuti oleh Bung Moktar seminit kemudian, calon Bebas Juni Abdullah, Razman Maya (Parti Cinta Sabah) dan Muhamad Ruzaimi Rahmai dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
Menurut Suhaimi, setelah meneliti borang pencalonan kelima-lima calon berkenaan, beliau mendapati kesemua mereka layak bertanding.
DUN Lamag sebuah kerusi baru terletak di Parlimen Kinabatangan yang menjadi kubu tradisi Bung Moktar.
Mengiringi Bung Moktar ke pusat penamaan calon ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.