12 SEPT: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan saingan lima penjuru dalam usahanya mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.
Dalam saingan itu, pencabar utama kepada Mohd Safie dijangka datang dari calon perikatan Nasional (PN), Norazman Utoh Nain.
Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Semporna itu juga merupakan anak saudara kepada Mohd. Shafie.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Mohd Shafie menang DUN Senallang dengan majoriti 7,754 menwaskan calon Barisan Nasional (BN).
Selain Norazman, turut bertanding mencebar Mohd Shafie ialah Mohd Ramzan Wahab (USNO), Mat Jali Lais dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan Datu Ahmad Ali Alam, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
Pengumuman calon bertanding dilakukan Pegawai pengurus Pilihan Raya DUN Senallang di Dewan Tun Sakaran, Semporna sebentar tadi.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Mohd Shafie menyeru semua parti yang bertanding mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
“Pastikan kita patuh SOP ini. Jangan langgar kerana ini melibatkan kesihatan, nyawa manusia.
“Saya percaya situasi di Sabah terkawal kerana tertumpu di penjara di Tawau. Apa pun saya telah arah pertingkat kawalan kesihatan di lokasi terbabit dilakukan dengan baik,” katanya.
Mengenai peluangnya di DUN Senallang, Mohd Shafie berkata, sudah tentu perlu terus bekerja keras serta berdoa kepada Allah SWT supaya kemenangan beroleh kepada Warisan.
Ditanya ketiadaan Tan Sri Musa AMan pada PRN Sabah kali ini, Mohd Shafie berkata, dalam politik apa sahaja boleh berlaku.
“Beliau (Musa) ada atau tidak, kita kena gerak kempen dan bekerja untuk menang,” katanya.