12 SEPT: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.
Ini termasuk di Dewan Serbaguna Libaran, di sini, yang menjadi pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, iaitu kerusi yang disandangnya sejak 1994.
Sebelum ini, beliau memberi bayangan akan bertanding di kerusi DUN Sungai Manila, kerusi baru selepas persempadanan semula DUN Sabah.
Dengan perkembangan ini, bermakna Musa sah tidak bertanding selepas tidak berada dalam senarai Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO dan juga Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, terdapat juga spekulasi mengaitkan Musa bakal bertanding di bawah Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterajui Datuk Seri Anifah Aman.
Musa pada Julai lalu mengetuai gerakan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hilang sokongan majoriti ADUN.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas DUN Sabah dibubarkan yang membawa kepada PRN Sabah Ke-16 26 September ini.
Sementara itu, pada petang tadi, Musa membuat ciapan ringkas di Twitter miliknya,
“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat,” kata bekas Ketua Menteri itu.