12 SEPT: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula pada jam 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri.
Pemimpin utama parti masing-masing kebanyakannya tiba sejak sebelum pusat penamaan calon dibuka antaranya Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor yang mempertahankan DUN Sulaman dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di DUN Lamag
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu, yang antara lain terdiri daripada dewan komuniti dan sekolah, bagi memastikan kelancaran proses berkenaan di sebalik prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19.
PRN Sabah bakal menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding dengan 13 kerusi baharu hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Kerusi itu ialah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.
SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 September ini.
Sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya mengejut itu.
PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Sementara itu, ramai petugas media meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan drastik SPR yang tidak membenarkan petugas media kecuali milik kerajaan membuat liputan proses penamaan calon di dalam dewan penamaan.
Ketua Unit Komunikasi Korporatnya, Mohammad Azlan Charles Abdullah ketika dihubungi mengesahkan bahawa SPR memang ada mengeluarkan arahan sedemikian.
Berikutan itu beliau berkata, hanya media rasmi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama dibenarkan membuat liputan sama ada mengambil gambar atau merakam video dalam bilik penamaan calon.
“Semua media lain boleh mendapatkan rakaman video dan gambar daripada media rasmi kerajaan terbabit,” katanya ketika ditemui di Tuaran sebentar tadi.
Sementara itu Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika dihubungi portal berita PNBBC melahirkan rasa terkejut dengan arahan terbaharu itu dan berjanji akan menyelesaikan masalah terbabit secepat mungkin.