12 SEPT: Perdana Menteri mengumumkan gabungan parti yang disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nama gabungan itu akan digunakan secara rasmi selepas 26 September ini jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, semua sekutu mereka mempunyai tujuan sama dan sepakat dalam pertemuan semalam untuk menamakan pakatan mereka sebagai Gabungan Rakyat Sabah.
“Semalam, kita bertemu semua pihak dan mereka sepakat untuk berjuang, kita bangunkan dan lindungi (rakyat Sabah).
“Saya ingin mengumumkan bahawa keputusan telah diambil dalam satu mesyuarat penting, iaitu untuk menamakan pihak-pihak yang ada bersama perjuangan sebagai Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.
Perdana Menteri berada di Tuaran bagi memberikan sokongan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, yang bertanding di kerusi DUN Sulaman.
Bercakap kepada lebih 500 hadirin, Muhyiddin mengatakan tujuan semua parti berkumpul dan bertanding di 73 kerusi tidak lain adalah menggantikan Warisan Plus sebagai kerajaan negeri.
Beliau mengingatkan semua pihak untuk mengetepikan perbezaan mereka dan memenangi pilihan raya negeri agar mereka dapat membawa pembangunan ke Sabah.
Ucapan lebih 10 minit itu bertujuan untuk memberi gambaran besar bagaimana pembangkang boleh mengambil alih pemerintahan negeri.
Perhimpunan pendek itu turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Muhyiddin juga mengingatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal mereka seperti mana SOP kerajaan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pembentukan GRS penting kerana mana-mana parti sama ada dalam gabungan PN, BN mahupun PBS tidak mungkin dapat membentuk kerajaan negeri baharu jika mereka bertanding secara bersendirian.
“Tidak mungkin satu parti boleh bentuk kerajaan sama ada PN, UMNO atau PBS hanya gabungan GRS saja boleh bentuk kerajaan yang kuat nanti.
“Saya juga yakin bahawa kerajaan baharu bakal dibentuk oleh GRS lebih hebat dari kerajaan Warisan kerana PN dan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Pusat di mana saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata PN juga tidak teragak-agak untuk mencalonkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah baharu jika mendapat sokongan parti lain.
“Kita semua perlu bekerja keras dan tidak boleh tidur selama 14 hari ini bagi memastikan GRS mencapai kejayaan besar dan menang PRN serta membentuk kerajaan baharu selepas 26 September ini,” katanya.
Selepas ucapannya, Muhyiddin kemudian meneruskan jadual seterusnya melakukan tinjauan mesra di pasar ikan berhampiran.